Pages

Siti Nur Binti Muhammad Hakimi (Part 1)

Pada awal ramadhan, berita kehamilanku telah membuatkan aku dan suami gembira.Alhamdulillah atas anugerah yang telah Allah kurniakan. Alhamdulillah di atas rezeki yang dikurniakan oleh Allah. Kami sambut berita itu dengan perasaan gembira. Namun begitu, pada awal kehamilan lagi aku telah mula disuntik untuk masuk air kerana kekurangan air. Ketika itu aku redha untuk berbuka puasa kerana semuanya demi zuriat yang berada dalam kandunganku itu.

Aku harungi saat kehamilan dengan perasaan teruja. Aku sudah mula rasa tentang jantina zuriatku. Mungkin naluri seorang ibu, aku menjangkakan zuriat yang ku kandung tika itu merupakan seorang perempuan. Teringat lagi sebelum kehamilan, aku menangis hanya kerana tidak dapat menjamah sebiji karipap. Aku juga menikmati rasa mengidam sebagai seorang bakal ibu. Terlalu menginginkan nasi ayam. Aku cuba bertanya dengan rakan-rakan kalau mereka tahu tentang kedai nasi ayam yang sedap. Aku terlalu mengidam dengan nasi ayam sehingga hampir menitis air mata. Namun dengan kuasa Allah , pada satu petang sebelum berbuka puasa aku diberi sebungkus nasi ayam oleh jiran yang sangat baik hati. Menitis terus air mata ketika itu, Allah telah mengizinkan hati insan tersebut untuk menghantar nasi ayam tersebut kepada ku.

Pada usia kehamilan 2 bulan, aku sudah mula rasa 'cramp' pada perut. Aku hanya mampu berbaring untuk menghilangkan kesakitan itu. Aku tidak sedar bahawa sebenarnya saat itu kandunganku sedang menghadapi masalah. Pemeriksaan berkala di klinik desa tetap aku jalani. Ujian air kencing, ujian darah, timbang berat dan khidmat nasihat adalah perkara rutin yang aku perlu lalui. Tiada masalah sepanjang ujian-ujian tersebut dilakukan. HB pun masih dalam keadaan baik sebagai seorang ibu mengandung.Alhamdulillah. 

Aku mula batuk dan selesema. Terasa juga sakit apabila aku batuk, Seolah-olah menolak kandunganku ke bawah. Aku telah diminta ke Klinik Kesihatan untuk berjumpa Doktor bagi mendapatkan rawatan lanjut. Kandunganku di "scan" . Kelihatan anak kecil dalam rahimku sudah mula berkembang. Teruja. Alhamdulillah.Namun begitu, aku perlu menghantar sampel kahakku ke makmal selama 3 hari berturut-turut. Agak keletihan juga apabila perlu berkejar ke klinik yang berada di bandar dan mengejar masa untuk pulang ke sekolah bagi menjaga kelas peperiksaan ketika itu. Selesai tiga hari berturut-turut ke makmal, pada hari Jumaat itu, aku telah mengalami pendarahan beserta dengan keputihan. Kebetulan suami berada di rumah Kulai, dia yang menghantarku ke klinik . Ketika itu aku mula bimbang Badan terasa tak bermaya. 

Doktor membuat pemeriksaan pada kandunganku. Dia mengatakan bahawa kandunganku selamat. Mungkin disebabkan kandunganku masih awal. Dia telah "scan" kehamilanku sekali lagi. Setelah melihat jantung dan kedudukan uri zuriatku masih dalam keadaan normal, dia sekadar memberikan nasihat kepadaku. Kami pulang dengan perasaan lega. Mungkin tiada apa-apa yang berlaku. 


0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2010 NurabaDie. Powered by Blogger
Blogger Templates created by DeluxeTemplates.net
Wordpress by Wpthemescreator
Blogger Showcase